Menyelami inisiatif menambahbaik perkhidmatan sokongan autisme di Malaysia dalam Belanjawan 2025
Semenjak beberapa tahun belakangan ini, kesedaran tentang autisme semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia. Siapa yang tidak tahu Adam’s Autism Family? Khairy Jamaluddin juga pernah berkongsi perjalanan keluarganya dalam membesarkan anak istimewa beliau. Semestinya media sosial juga telah memainkan peranan kepada kesedaran yang semakin meluas berkenaan autisme. Peningkatan kesedaran ini telah membawa kepada keperluan untuk menambah baik perkhidmatan berkaitan autisme di negara ini, sekali gus mendorong kerajaan untuk memberi peruntukan khusus dalam Belanjawan 2025 bagi usaha-usaha menambah baik dan memperluas perkhidmatan sedia ada. Langkah-langkah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bertujuan untuk meringankan beban, memberi harapan dan mencapai kesaksamaan bagi keluarga serta anak-anak yang terkesan oleh autisme. Dalam edisi kali ini, Ouch! meneliti inisiatif-inisiatif berkaitan autisme yang telah diumumkan oleh kerajaan MADANI dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.
1. Memperluas perkhidmatan intervensi awal melalui PERMATA Kurnia
Bagi kanak-kanak autisme, intervensi awal yang menyeluruh adalah penting bagi perkembangan mereka. Selaras dengan keperluan ini, kerajaan akan memperluaskan program PERMATA Kurnia yang telah diperkenalkan pada tahun 2015. Di bawah peruntukan Bajet 2025, sebanyak 11 pusat PERMATA Kurnia Baharu akan didirikan di Kelantan, Terengganu, Sabah dan juga Sarawak. Inisiatif ini akan membuka peluang bagi kanak-kanak dan ibu bapa yang sebelum ini mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan khusus untuk kanak-kanak autistik. Pusat PERMATA Kurnia menyediakan perkhidmatan khas intervensi awal bagi kanak-kanak yang berumur antara 2 sehingga 6 tahun bagi memastikan mereka mempunyai peluang terbaik untuk hidup berdikari apabila mereka dewasa kelak.
2. Sistem persekolahan yang lebih inklusif
Kerajaan telah mengumumkan pembinaan dua sekolah baharu untuk murid berkeperluan khas di Tuaran, Sabah dan juga Johor Bahru. Khususnya, sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama di Malaysia yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk para pelajar autistik. Bagi ibu bapa, usaha ini memberi nafas lega dan keyakinan bahawa anak-anak mereka akan menerima perhatian khusus yang diperlukan dalam suasana pembelajaran yang akan menyokong dan memahami keperluan mereka sepanjang perjalanan pendidikan mereka.
Di samping itu, kerajaan juga telah mengambil langkah bagi memastikan sekolah autistik swasta dapat mengekal dan menambahbaik perkhidmatan mereka. Peruntukan sebanyak RM10 juta telah diumumkan untuk sekolah-sekolah autistik swasta yang berdaftar bagi membantu mereka untuk mendapatkan sumber terkini, latihan khusus serta sistem sokongan yang kukuh bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk pelajar mereka.
3. Menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme
Pusat Perkhidmatan Autisme akan dibangunkan bagi memanfaat dan menyokong komuniti autisme di negara kita. Walaupun butiran terperinci pusat ini masih belum diumumkan, ianya dijangka akan menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan seperti rawatan terapi dan memberi garis panduan kepada para ibu bapa kanak-kanak autistik. Secara tidak langsung, pusat ini juga akan mewujudkan ruang untuk keluarga kanak-kanak autistik boleh berdialog dan menyokong antara satu sama lain. Inisiatif ini juga dekat dengan konsep takaful kerana ia menghidupkan prinsip kehidupan bermasyarakat yang saling menyokong dan menggalakkan tanggungjawab bersama.
4. Sokongan kewangan untuk ibu bapa
Antara cabaran terbesar untuk kebanyakan ibu bapa kanak-kanak autistik ialah kos kewangan yang tinggi untuk mengikuti program khusus seperti intervensi awal dan pendidikan khas. Peka dengan cabaran ini, Belanjawan 2025 telah memperkenalkan beberapa langkah bagi membantu meringankan beban kewangan bagi keluarga yang layak:
- Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme
- Elaun Murid Berkeperluan Khas RM150 diteruskan
- Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak ditingkatkan kepada RM6,000
Belanjawan 2025 merupakan langkah penting bagi Malaysia untuk maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang inklusif yang peka terhadap keperluan keluarga yang terkesan oleh autisme. Inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan mencerminkan kesungguhan kerajaan bukan sahaja dari segi kewangan malah juga untuk mewujudkan masyarakat yang menghargai dan melindungi setiap kanak-kanak. “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Al-Maaidah 5:2). Berasaskan inisiatif-inisiatif ini, Malaysia berada di landasan yang betul untuk membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif berasaskan konsep bertimbang rasa dan tanggungjawab bersama. Matlamat ini selaras dengan prinsip takaful kami amalkan. Ouch! percaya, kesejahteraan sebenar adalah pada sebuah masyarakat yang mahu maju bersama-sama dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.