Lindungi Diri Daripada Scam

Jangan biarkan scammer mencuri wang hasil titik peluh anda dengan langkah-langkah keselamatan ini

Phishing, pelan takaful palsu, dan transaksi dalam talian yang mencurigakan adalah antara taktik yang sering digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tipu helah scam kini menjadi semakin bijak dan mengelirukan pada zaman digital ini. Penting untuk kita mengenali taktik kotor mereka demi melindungi diri daripada sebarang kesusahan dan kecelakaan zaman digital ini. Menurut Menteri Digital, Gobind Singh, kejadian scam telah mencatat lebih daripada 95,000 mangsa dengan kerugian sebanyak RM3.2 bilion di antara tahun 2021 sehingga April 2024. Ouch! ingin memainkan peranan untuk memastikan perlindungan kewangan boleh difahami dengan mudah dan dikecapi dengan cara yang bertanggungjawab. Edisi kali ini menampilkan beberapa tip yang mudah untuk membantu anda melindungi diri daripada sebarang scam kewangan.

1. Lindungi Maklumat Peribadi 

    Ini adalah langkah pertama dalam menangani tipu helah scam. Jangan sesekali kongsi maklumat peribadi anda kepada sesiapa termasuklah pegawai polis, pegawai kerajaan mahupun pihak bank. Ini kerana mereka tidak akan meminta maklumat perbankan anda seperti ID pengguna, kata laluan ataupun nombor TAC/OTP.

    2. Tak Pasti, Jangan Kongsi

      Kebanyakan kejadian scam mengambil tempat melalui panggilan telefon ataupun mesej. Individu-individu ini sering menyamar sebagai pegawai daripada pihak bank ataupun ejen takaful untuk meminta maklumat peribadi anda seperti akaun bank. Jika ini berlaku, pastikan anda semak maklumat dengan talian rasmi institusi kewangan/syarikat takaful anda. Menurut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), e-commerce, panggilan scam dan scam pelaburan adalah taktik yang paling sering digunakan. Jika anda berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena, percayakan firasat anda.

      3. Kenali Pelan Takaful Anda

        Ilmu pengetahuan adalah benteng utama pertahanan anda untuk melindungi diri daripada scam. Pastikan anda jelas tentang pelan takaful semasa anda. Hanya gunakan khidmat syarikat takaful yang telah diluluskan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) atau telah berdaftar dengan Persatuan Takaful Malaysia (Malaysian Takaful Association, MTA). Usah terpedaya dengan kata-kata manis ejen palsu!

        4. Perlindungan Dalam Talian

          Digitalisasi kewangan bermakna aktiviti transaksi dalam talian menjadi sasaran aktiviti scam. Pastikan anda aktifkan kaedah keselamatan tambahan seperti pengesahan dua faktor (two-factor authentication, 2FA). Kaedah pembayaran yang lebih selamat juga sedang dilaksanakan di seluruh negara. Elakkan penggunaan Wi-Fi awam ketika melakukan transaksi kewangan dan hanya gunakan platform kewangan yang bertauliah. Jangan gelojoh untuk terus klik pautan link yang terdapat dalam e-mel ataupun mesej, terutamanya jika diterima daripada penghantar yang tidak dikenali.

          5. Bantu Lindungi Orang Tersayang

            Tidak semua orang boleh mengenal pasti tipu helah scam dengan mudah. Ini pastinya lebih mencabar untuk ahli keluarga kita yang sudah berumur ataupun yang baru sahaja bermula untuk menguruskan kewangan sendiri. Kongsi tip seperti di atas untuk melindungi mereka. Anda juga boleh membantu mereka mengenal pasti taktik yang sering digunakan oleh para scammer seperti penyamaran sebagai pegawai bank ataupun panggilan yang bernada kasar oleh pegawai palsu mengenai saman ataupun aktiviti jenayah yang tidak wujud. Antara kaedah keselamatan paling mudah juga adalah dengan mengajar orang tersayang anda untuk meminta ahli keluarga yang celik digital untuk menyemak sebarang pautan link yang diterima.

            Menurut Laporan Scam 2024, 65% responden telah melalui cubaan scam. Jika anda telah terpedaya dengan tipu helah mereka, pastikan anda menghubungi pihak bank anda dengan segera. Anda juga boleh menghubungi Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian. Institusi ini adalah usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi. 

            Mengatasi tipu helah scam tidak perlu tindakan yang rumit. Dengan mengamalkan beberapa langkah berjaga-jaga yang mudah, anda boleh melindungi wang anda dan mengelak sebarang kecelakaan kewangan. Walaupun para scammer sentiasa mencari cara baru untuk menipu, langkah-langkah keselamatan kewangan juga semakin maju dan menyeluruh untuk melindungi anda. Untuk kami di Ouch!, kami ingin memainkan peranan untuk membantu anda menghadapi cabaran kewangan dengan cara mudah dan selamat. Sama-sama kita berusaha untuk mengatasi tipu helah scammer dan membina masa depan yang lebih selamat untuk masyarakat sekeliling.

            Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.

            Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.

            Leave a comment

            Your email address will not be published. Required fields are marked *