Hari Ibu: Meraikan Nadi Masyarakat Kita

Ibu bukan sekadar pengasuh. Mereka ialah penyemai masa depan masyarakat

Di saat kita membuka mata di dunia ini, ibulah guru, pengasuh dan pendidik pertama kita. Jasa para ibu jauh melangkau tanggungjawab rumah tangga. Mereka adalah pembentuk generasi. Para ibu sering mengimbangi tanggungjawab kerjaya, rumahtangga dan agama sambil mengasuh anak-anak untuk menjadi manusia yang beretika dan berperikemanusiaan. Dalam diam, mereka membentuk asas masyarakat. Pada Hari Ibu ini, wajar untuk kita meraikan insan istimewa dalam hidup kita ini, kerana mereka layak diraikan pada setiap peluang yang ada.

Seorang ibu adalah insan yang dipandang sangat mulia dalam Islam. Al-Quran berulang kali menekankan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa, terutamanya kepada ibu; “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” (Al-Ahqaf, 46:15).

Rasulullah SAW juga telah menzahirkan kedudukan istimewa para ibu dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, di mana seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?” Maka Rasulullah menjawab; “Ibu kamu (adalah manusia paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (Riwayat Muslim: 2548)

Ini memberi iktibar kepada kita untuk sentiasa ingat bahawa pengorbanan seorang ibu layak diberi penghargaan yang tiada tandingannya.

Ibu Hebat dalam Sejarah Islam

Sejarah Islam merangkumi pelbagai kisah keteguhan iman dan pengorbanan wanita-wanita hebat yang telah membentuk sejarah. Insan-insan hebat ini telah menghadapi pelbagai cabaran besar dengan penuh ketakwaan dan kepercayaan kepada Allah SWT, meninggalkan teladan abadi untuk semua generasi.

Kisah Hajar (AS) berlari-lari antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali demi mencari air untuk anaknya Nabi Ismail (AS) di tanah Mekah yang gersang adalah contoh keteguhan iman yang tiada bandingan. Ketabahan dan kepercayaannya terhadap belas kasihan Allah telah diganjarkan dengan mukjizat mata air Zamzam, dan langkahnya diabadikan sebagai salah satu rukun Haji. Kisahnya memberi teladan ketabahan seorang ibu mengubah keadaan paling sukar menjadi penuh keberkatan.

Maryam (AS) telah menghadapi cemuhan masyarakat setelah melahirkan Nabi Isa (AS) secara mukjizat tanpa seorang bapa. Namun, beliau menghadapi segala cabaran dengan kesabaran yang tiada tandingan, kerana beliau yakin dengan janji Allah SWT untuk melindunginya. Kisah beliau adalah teladan ketakwaan, keberanian, dan kepercayaan sepenuhnya terhadap kehendak Allah SWT. Kisah kemuliaan dan ketakwaan beliau diabadikan dalam Surah Maryam yang mengingatkan kita berkenaan keteguhan iman seorang ibu yang mampu melindungi kita melalui ujian hidup yang paling getir. 

Khadijah (RA), isteri pertama Rasulullah SAW dan ibu kepada anak-anak mereka telah memainkan pelbagai peranan penting – ibu yang penyayang, isteri yang setia dan juga orang pertama yang percaya kepada Rasulullah dan ajaran Islam. Beliau telah mengimbangi semua peranan dengan penuh kemuliaan, sambil juga memberi semangat dan sokongan kewangan yang tidak berbelah bagi ketika Nabi Muhammad (SAW) menghadapi tentangan sengit dari masyarakat. Legasi beliau juga membuktikan bahawa seorang ibu mampu menjadi pelindung dan pendorong semangat dalam sebarang kesusahan. Beliau adalah contoh terbaik kehebatan seorang ibu mengimbangi pelbagai peranan dalam kehidupan.

Raikan Ibu Setiap Hari

Di kala kita meraikan para ibu pada hari istimewa ini, Islam juga mengajar kita bahawa meraikan dan menghargai mereka adalah kewajipan harian. Berikut adalah beberapa cara untuk menghargai para ibu:

  • Masa: Hadiah paling berharga – hadir sepenuhnya dan sering luangkan masa bersama ibu 
  • Doa: Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu kita
  • Berbakti: Jaga keperluan ibu tanpa diminta
  • Legasi: Amalkan kehidupan harian dengan cara yang akan membanggakan ibu

Para ibu adalah pembentuk masyarakat di sebalik tabir. Kasih sayang mereka membina bangsa, pengorbanan mereka seringkali tidak dilihat. Pada Hari Ibu ini, ayuh kita berazam untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu yang tersayang selagi hayat dikandung badan. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu – itulah kata hikmat yang sering digunakan untuk melakarkan keagungan darjat seorang ibu dalam kehidupan kita. Kepada semua para ibu, Ouch! mengucapkan Selamat Hari Ibu! Semoga kasih sayangmu dibalas berlipat ganda, pengorbananmu dihargai, dan legasimu kekal abadi.

“Wahai Tuhanku, cucurilah Rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (Al-Isra, 17:24)

Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.

Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *