Kenali perbezaan dan persamaan antara dua pesta menuai di kepulauan Borneo
Kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia menyerlah setiap kali tibanya sebarang musim perayaan, termasuklah sambutan Pesta Kaamatan (Sabah) dan Hari Gawai (Sarawak) yang meraikan hasil tuaian, komuniti dan tradisi. Kedua-duanya adalah contoh warisan hidup masyarakat peribumi di negara kita.
Setaraf dengan kemeriahan sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali di Semenanjung Malaysia, tradisi sambutan pesta menuai di bumi Sabah dan Sarawak ini membawa kemeriahan dan makna budaya yang mendalam. Daripada adat menuai padi sehinggalah sambutan rumah terbuka, perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai menyemai nilai-nilai seperti kesyukuran, perpaduan, dan menghormati hubungan dengan alam sekitar.
Memahami dan menghargai dua perayaan ini bukanlah sekadar tentang kesedaran budaya – tetapi juga mengenali susur galur yang mengikat kita sebagai sebuah bangsa.
Ayuh sama-sama kita selami asas tradisi dan adat kedua-dua pesta menuai ini.
Kenali Pesta Kaamatan dan Hari Gawai
Bagi ramai di Semenanjung Malaysia, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai mungkin kelihatan seperti perayaan yang sama. Dilihat sebagai pesta menuai yang meriah dengan hidangan istimewa, tarian tradisional dan majlis keraian bersama.
Namun, jika dikaji dengan lebih mendalam, kedua-dua pesta menuai ini mempunyai sejarah, adat, dan budaya yang berbeza. Walaupun kedua-duanya meraikan hasil bumi sambil mengukuhkan semangat kemasyarakatan, Kaamatan (tradisi Kadazan-Dusun Sabah), dan Gawai (berakar daripada warisan Dayak Sarawak) masing-masing mempunyai kisah unik tersendiri.

- Asal-usul budaya
- Pesta Kaamatan adalah pesta menuai di bumi Sabah yang disambut oleh masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus. Pesta Kaamatan menghormati semangat Huminodun dan melibatkan adat yang diketuai oleh pendeta wanita, Bobohizan.
- Hari Gawai secara amnya disambut oleh kaum Dayak di Sarawak (Iban, Bidayuh, Orang Ulu). Perayaan ini menandakan penghujung musim menuai padi dan diraikan dengan, jamuan, tarian, dan adat yang telah dibawa turun-temurun.
- Adat & tradisi utama
Hari Gawai | Pesta Kaamatan |
Miring: Upacara kesyukuran dengan persembahan kepada dewa dan nenek moyang | Magavau: Melibatkan adat “memanggil kembali” semangat padi untuk tuaian masa hadapan |
Tarian Ngajat: Persembahan tarian berasaskan semangat pahlawan untuk melambangkan kekuatan dan kemeriahan perayaan. | Tarian Sumazau: Tarian yang penuh dengan gerakan anggun dan lemah lembut, meniru pergerakan burung di sawah padi |
Tuak (wain beras): Minuman budaya yang melambangkan keramahan, dikongsi bersama para tetamu | Tapai beras: Minuman tradisi yang diperbuat daripada beas |

Persamaan budaya
- Jamuan makan
- Tiada perayaan di Malaysia yang lengkap tanpa jamuan istimewa. Seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali, perayaan menuai ini juga menawarkan pelbagai hidangan istimewa seperti hinava (sejenis kerabu mentah menggunakan isi ikan) dan bambangan (jeruk mangga) di Sabah; dan juga masakan pansuh (masakan yang dimasak dalam buluh) dan manok kacangma (masakan ayam herba) di Sarawak. Masakan-masakan ini bukan sekadar sedap dimakan, tetapi juga satu cara untuk merapatkan hubungan di kalangan masyarakat.
- Allah s.w.t. telah menyebut di dalam Al-Quran, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…” (Surah Al-Hujurat, ayat 13). Melalui ayat ini, umat manusia, tanpa mengira bangsa, agama, mahupun rupa, amat digalakkan untuk saling mengenali dan menghormati sesama kita.
- Muzik, tarian dan penceritaan
- Tarian tradisi seperti Sumazau dan Ngajat sering dipersembahkan dalam kedua-dua perayaan ini. Namun, tarian-tarian ini bukan sekadar untuk hiburan.
- Ia membawa kisah sejarah yang menceritakan tentang keberanian dan juga keharmonian hubungan manusia dengan alam yang telah sebati dengan adat dan cara kehidupan masyarakat mereka.
- Rumah terbuka dan semangat kemasyarakatan
- Setelah sambutan Hari Raya, kita sambung lagi upacara rumah terbuka melalui Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Perayaan menuai di kepulauan Borneo ini juga mengalu-alukan kehadiran jiran dan sahabat handai daripada semua kaum dan agama, mencerminkan semangat muhibah masyarakat Malaysia.
Pesta Kaamatan dan Hari Gawai adalah dua perayaan yang berkongsi semangat yang sama, bertemakan kesyukuran dan meraikan semangat kemasyarakatan. Makanan lebih enak jika dikongsi, tarian lebih meriah apabila lebih ramai berganding tangan.
Dua perayaan ini mengajar kita bahawa nilai kesyukuran adalah sesuatu yang dikongsi dengan pelbagai budaya – sama ada melalui pesta menuai, sambutan rumah terbuka ataupun juga dalam amalan harian kita. Perpaduan hidup dalam meraikan perbezaan kita.
Semoga kita sentiasa ingat untuk bersyukur dalam setiap tradisi yang kita sambut dan hormati. Kotobian Tadau Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai!
Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.