Teladan dunia perniagaan daripada peristiwa Hijrah
Setiap kali menjelang Awal Muharam, para muslimin dan muslimat di seluruh dunia memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Peristiwa ini menandakan permulaan tahun baru kalendar Islam dan sering menggamit titik perubahan rohani.
Namun, tersemai di sebalik peristiwa bersejarah ini adalah pengajaran merentas zaman mengenai kemahiran keusahawanan untuk mengendali dunia perniagaan seperti kepimpinan strategik, pengurusan risiko dan juga perancangan wawasan. Peristiwa Hijrah bukanlah sekadar taktik untuk menyelamatkan umat, tetapi juga strategi hebat yang telah mengubah sejarah – di mana sebuah masyarakat tertindas telah berkembang sebagai tamadun yang maju.
Berikut adalah lima pengajaran keusahawanan yang boleh kita ambil iktibar.
1. Seni “exit strategy”
Pada zaman awal tamadun Islam, masyarakat Muslim di Mekah menghadapi cabaran situasi yang genting. Mereka diboikot dari segi ekonomi, dipulaukan oleh masyarakat sekeliling dan juga menghadapi keganasan daripada kaum jahiliah.
Namun, Nabi Muhammad SAW ialah pemimpin yang arif dan tidak tunggu sehingga keruntuhan sepenuhnya masyarakat Muslim sebelum bertindak. Apabila pemimpin dari Yathrib (kemudiannya Madinah) menawarkan perikatan, Baginda lantas mengambil peluang keemasan ini untuk berhijrah bersama-sama para muslim yang lain.
Kepimpinan Rasulullah adalah prinsip penting yang harus diterap dalam perniagaan, di mana kita harus peka bahawa kadangkala strategi yang terbaik adalah untuk meninggalkan pasaran sebelum terlambat.
Contohnya, kita boleh mengambil iktibar daripada strategi Uber keluar dari pasaran e-hailing negara Cina selepas persaingan sengit dengan syarikat tempatan, Didi. Melalui perjanjian perniagaan di antara dua syarikat berikut, Uber telah menerima USD1 bilion dana pelaburan dan juga kepentingan dalam syarikat Didi walaupun telah kalah di pasaran e-hailing Cina.
2. Pilih rakan strategik yang sesuai
Kehadiran dan pertolongan kaum Ansar telah membolehkan peristiwa Hijrah berlaku. Mereka bukan sahaja memberi perlindungan kepada kaum Muhajirin, tetapi juga menjadi rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam membina tamadun Islam melalui Perjanjian Aqabah. Perjanjian ini telah menggabungkan sumber dan rangkaian, serta memperjuangkan visi yang sama untuk Islam.
Penubuhan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), di mana Malaysia adalah antara negara pengasas, adalah contoh kerjasama yang efektif antara rakan strategik yang betul pada zaman moden. ASEAN bukan sahaja bertindak sebagai pendamai selepas Konfrontasi pada tahun 60-an, tetapi juga telah berfungsi sebagai platform kerjasama ekonomi, sosial, dan budaya antara 10 negara anggota.
Hari ini, Malaysia memainkan peranan sebagai pengerusi ASEAN untuk 2025, dan ASEAN merupakan ekonomi kelima terbesar dunia serta dianggarkan akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.
3. Sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan
Ketika di Mekah, Islam secara amnya telah diperkenalkan sebagai sesuatu yang spiritual. Tetapi setelah tiba di Madinah, Rasulullah telah mengubah strategi dan mengemukakan Islam sebagai sebuah cara hidup yang lengkap.
Melalui Piagam Madinah, Baginda telah membina asas masyarakat dengan menjamin hak asasi dan keselamatan bagi semua termasuklah masyarakat Yahudi dan juga mereka yang tidak percaya kepada Tuhan. Ini sekaligus telah membuka mata masyarakat terhadap keindahan Islam dan menarik perhatian yang lebih meluas.
Pengajaran di sini untuk para usahawan adalah kepentingan mengenal pasti apabila strategi kurang berkesan. Kajian menunjukkan syarikat pemula yang menggunakan strategi pivot atau penjenamaan semula sekurang-kurangnya satu atau dua kali mendapat 2.5x lebih banyak pembiayaan, 3.6x lebih banyak pertumbuhan pengguna dan kurang berkemungkinan untuk mengembangkan operasi secara terburu-buru sebanyak 52%.
YouTube bermula sebagai sebuah laman dating, Netflix pernah menawarkan khidmat peminjaman DVD, manakala Slack pada asalnya dicipta sebagai alat komunikasi dalaman syarikat. Kebolehan menyesuaikan diri adalah penting untuk terus kekal relevan, terutamanya untuk bidang perniagaan.

4. Pengurusan risiko yang bijak
Dalam persiapan untuk Hijrah, Rasulullah SAW telah memberi teladan yang terbaik dalam pengurusan risiko. Baginda telah memperdaya musuh dengan meminta Ali (RA) untuk tidur di kamarnya sementara Baginda melepaskan diri untuk memulakan perjalanan bersama Abu Bakar (RA) menggunakan laluan yang tidak diketahui ramai dengan bantuan Abdullah ibn Uraiqit. Mereka juga telah menyediakan rantaian bekalan rahsia dengan bantuan daripada anak perempuan Abu Bakar (RA), Asma.
Ini menunjukkan bahawa walaupun Baginda adalah contoh terbaik manusia, Rasulullah SAW tidak berserah kepada takdir semata-mata. Sentiasa berusaha sebaik mungkin dan setia bersedia dengan ‘Plan B’ sebelum bertawakal kepada Allah SWT.
5. Membina sistem berskala
Antara strategi penting Nabi Muhammad SAW ialah pengutusan Mus’ab ibn Umair (RA) sebagai ‘duta’ ke Madinah untuk membuat persiapan daripada segi pentadbiran dan juga dakwah bagi menerima kedatangan kaum Muhajirin.
Hasilnya, peristiwa Hijrah telah berjalan mengikut perancangan dan kerja dakwah dan pentadbiran di Madinah bermula dengan lancar setelah Rasulullah tiba. Masjid Nabawi telah dibina dan menjadi nadi masyarakat, menyaksikan urusan pentadbiran, pendidikan, perdagangan dan juga pemeteraian perjanjian yang menjamin kestabilan dan keamanan mereka.
Pendekatan yang tersusun dan sistematik ini memastikan pertumbuhan yang mapan bagi ekonomi dan masyarakat pada zaman itu. Malah, pendekatan ini masih relevan sehingga kini. Kisah ini mengajar kita bahawa pembangunan yang mapan memerlukan pendekatan yang tersusun dan sistematik bagi memastikan kelangsungannya.
Peristiwa Hijrah bukanlah sekadar tentang perpindahan umat Islam bagi mengelakkan situasi yang genting. Hijrah juga adalah strategi bijak Rasulullah SAW yang telah mengubah nasib kaum yang tertindas kepada pembentuk tamadun. Kisah ini sering dijadikan iktibar tentang pengorbanan generasi dahulu demi Islam.
Namun, peristiwa bersejarah ini juga meninggalkan pengajaran yang kekal relevan untuk para usahawan hingga ke hari ini. Peristiwa Hijrah membuktikan bahawa segala cabaran boleh diatasi dengan strategi yang tepat.
Semoga kisah ini mengaspirasi kita untuk memulakan ‘hijrah’ sendiri – sama ada daripada segi rohani ataupun perniagaan.
Salam Maal Hijrah!
Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.