Panduan asas kepada konsep yang membentuk kewangan Islam
Selama 12 tahun berturut-turut, Malaysia menduduki tempat pertama dalam Indikator Pembangunan Kewangan Islam (Islamic Finance Development Indicator, IFDI) pada tahun 2024. Kewangan Islam adalah sistem kewangan yang dibina berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan seperti keadilan, perkongsian risiko serta menghindari amalan yang menindas orang lain agar segala urus niaga dijalankan dengan telus, adil dan patuh shariah.
Sistem kewangan ini bukan sahaja untuk umat Islam tetapi terbuka untuk sesiapa yang mahukan sistem kewangan yang beretika. Untuk edisi kali ini, kita akan selami teras dan asas sistem kewangan ini, terutamanya Takaful, produk perlindungan berlandaskan syariah.
Prinsip-Prinsip Utama Kewangan Islam
Prinsip-prinsip ini ialah teras yang membezakan sistem kewangan Islam daripada sistem konvensional.
1. Larangan riba (faedah): Faedah diharamkan kerana dianggap bersifat menindas. Sebaliknya, keuntungan harus datang daripada hasil perdagangan atau pelaburan aset, menjamin bahawa kekayaan datang daripada aktiviti ekonomi yang sebenar.
2. Urus niaga yang adil dan telus: Kontrak dipersetujui dengan jelas tanpa sebarang risiko yang diselindungi atau unsur-unsur spekulasi dan ketidakpastian.
3. Perkongsian risiko: Berbeza dengan sistem konvensional, kewangan Islam menggalakkan perkongsian risiko di mana keuntungan dan kerugian dikongsi secara adil antara semua pihak.
4. Elak aktiviti haram: Tiada pelaburan dalam industri haram seperti arak, judi atau tembakau. Pelaburan juga sebaiknya membawa keuntungan kepada masyarakat secara beretika.
Instrumen Utama Kewangan Islam
Sistem kewangan Islam mempunyai instrumen kewangan alternatif yang unik bagi mematuhi prinsip syariah:
Murabaha: Mekanisme jual beli di mana harga barang dan penambahan keuntungan bagi penjual didedahkan dan ditetapkan secara telus dan jelas. Sekali gus mengelakkan sebarang ketidakpastian dan penindasan seperti dalam pinjaman berdasarkan faedah.
Mudarabah: Satu bentuk kerjasama dalam perniagaan di mana satu pihak menyediakan modal dan pihak lain menyumbangkan kepakaran untuk menguruskan modal tersebut.
Dalam kerjasama ini, keuntungan dibahagikan mengikut nisbah yang telah dipersetujui, manakala kerugian kebiasaannya ditanggung oleh pelabur. Model ini biasanya digunakan dalam perbankan Islam dan dana pelaburan.
Sukuk: Merujuk kepada bon dalam kewangan Islam yang mewakili pemilikan separa dalam aset, projek atau perniagaan. Berbeza dengan bon konvensional yang membayar faedah, sukuk menjana pulangan melalui perkongsian keuntungan (Mudarabah), pendapatan sewa (ijarah) atau kaedah Shariah kontrak lain yang diiktiraf.
Ijarah: Kontrak sewa atau pajakan di mana satu pihak memajak aset ketara kepada pihak lain untuk tempoh dan harga sewa yang dipersetujui. Pemilikan boleh dipindahkan pada akhir tempoh pajakan.
Takaful: Alternatif patuh syariah kepada insurans konvensional.
Apakah itu takaful?
Takaful adalah produk perlindungan yang beroperasi seperti sistem koperasi di mana para peserta menyumbang kepada dana bersama. Terdapat dua jenis pelindungan takaful:
- Takaful keluarga: Merangkumi perlindungan nyawa, kesihatan dan pendidikan
- Takaful am: Meliputi perlindungan untuk harta benda, kenderaan dan risiko perniagaan
Dana yang terkumpul hasil daripada sumbangan para peserta Takaful digunakan untuk menghulur bantuan kepada mana-mana peserta yang menghadapi musibah. Sebarang lebihan dana selepas tuntutan dan perbelanjaan akan dikembalikan semula kepada peserta ataupun disalurkan kepada golongan yang memerlukan bantuan amal.
Pengendali takaful seperti Ouch! menguruskan dana ini berdasarkan prinsip Syariah bagi memastikan ia bukan sahaja memainkan peranan untuk perlindungan kewangan, tetapi juga sebagai sebuah rangkaian perlindungan yang memberi manfaat kepada semua. Tiada keuntungan tersembunyi atau unsur-unsur penindasan dalam Takaful. Takaful adalah pelindungan yang melindungi diri dan keluarga anda sambil berpegang kepada prinsip kewangan yang beretika.
Penutup
Kewangan Islam bukanlah sekadar konsep kewangan yang niche — ia merupakan industri global bernilai USD5 trilion yang makin pesat berkembang. Ia menawarkan sistem kewangan yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahukan pilihan kewangan beretika. Dengan instrumen kewangan seperti Takaful, anda tidak perlu lagi mengorbankan nilai-nilai anda demi kesejahteraan dan keselamatan kewangan anda.
Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.