Cukai sebagai tanggungjawab kolektif
Baru-baru ini, topik perluasan cukai dan perkhidmatan (SST) menjadi perbualan hangat di Malaysia. SST bakal diperluaskan kepada enam sektor baharu mulai 1 Julai 2025: perkhidmatan pembinaan, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan kesihatan swasta, pendidikan swasta, servis kecantikan, serta servis penyewaan dan pajakan.
Ini adalah satu contoh impak percukaian kepada kehidupan seharian kita dan bagaimana ia digunakan untuk mentadbir negara. Adakah pencukaian selari dengan ajaran Islam? Ayuh kita teliti pandangan Islam terhadap konsep pencukaian.
Konsep Utama dan Jenis Cukai dalam Islam
Pencukaian bukan konsep baru dalam Islam dan telah diamalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Berikut ialah jenis=jenis cukai utama dalam Islam:
1. Zakat
Sebagai salah satu rukun Islam, zakat merupakan bentuk percukaian yang paling dikenali dan paling luas diamalkan. Zakat harta mewajibkan cukai sebanyak 2.5% atas kekayaan para Muslim yang layak bagi tujuan pengagihan bantuan kewangan kepada golongan miskin dan yang memerlukan. Manakala, zakat fitrah ialah bayaran kecil yang wajib dibayar oleh semua umat Islam setiap tahun pada bulan Ramadan untuk tujuan yang sama.
2. Jizyah dan Kharaj
Kedua-dua jenis cukai ini telah diamalkan pada tahun-tahun awal Islam berkembang dan merupakan sumber pendapatan utama bagi umat Islam pada zaman itu. Cukai jizyah merujuk kepada cukai yang harus dibayar oleh penduduk bukan Islam di sebuah megara Islam dan telah diamalkan sejak zaman kepimpinan Nabi Muhammad SAW di Madinah. Manakala kharaj pula merujuk kepada cukai tanah yang telah diperkenalkan zaman Umar bin al-Khattab.
Pencukaian adalah konsep yang juga tidak asing kepada negara-negara Islam. Namun, harus ditekankan percukaian dalam Islam berlandaskan prinsip syariah yang menekankan keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan kebajikan masyarakat. Ia menyeru setiap anggota masyarakat untuk menghidupkan konsep tanggungjawab bersama dan memainkan peranan untuk memastikan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat dan negara. Berdasarkan ini, cukai adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita yang seiring dengan ajaran agama Islam.
Pencukaian di Malaysia
Malaysia mengimbangi tanggungjawab agama dengan dasar fiskal melalui pendekatan dual-system untuk percukaian, menggabungkan cukai Islam (zakat) dengan cukai konvensional seperti SST. Zakat fitrah dan zakat harta adalah dua jenis zakat utama di Malaysia. Kita sering melihat pelbagai peringatan tentang zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan. Namun, kesedaran awam mengenai zakat harta dan pendapatan adalah kurang meluas. Di Malaysia, zakat ini mungkin merangkumi emas dan perak, duit simpanan, simpanan KWSP, serta hasil pertanian dan ternakan. Zakat di Malaysia diuruskan oleh pihak berkuasa agama negeri, yang juga bertanggungjawab untuk menetapkan kadar minimum yang dikenakan zakat. Mereka juga mengeluarkan fatwa tahunan untuk menetapkan zakat fitrah dan nisab zakat. Di Malaysia, zakat juga boleh mengurangkan cukai pendapatan tahunan anda.
Rumusan
Pembayaran cukai, sama ada melalui zakat, cukai pendapatan, atau SST, adalah tangguungjawab kolektif yang memainkan peranan penting untuk memelihara kesejahteraan masyarakat kita. Contohnya, zakat adalah satu mekanisme yang menyokong jaringan keselamatan sosial negara, memberikan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya dalam situasi genting seperti pandemik COVID-19. Kisah-kisah pandemik memberi peringatan bagaimana sumbangan kecik kita telah dan akan terus memberi kesan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Begitu juga bagaimana cukai moden memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan serta kelestarian ekonomi negara kita. Memenuhi kewajipan ini sekali gus memainkan peranan kita dalam membina masyarakat yang adil dan makmur, sambil juga memastikan pembangunan mapan Malaysia.
Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.