Deepavali: Menjalin Perpaduan Komuniti di Malaysia 

Musim perayaan Deepavali, juga dikenali sebagai Festival Cahaya, telah tiba! Berteraskan konsep cahaya mengatasi kegelapan dan pengetahuan mengatasi kejahilan, perayaan Deepavali membawa mesej mendalam untuk saling mengambil berat, bersatu-padu dan kepentingan hubungan komuniti.

Di Malaysia, perayaan ini menunjukkan salah satu kelebihan negara kita yang unik dengan kekayaan budaya dan kemeriahan sambutan perayaan. 

Kemeriahan Pesta Cahaya 

Perkataan “Deepavali” diambil daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud barisan lampu atau cahaya. Apabila tiba musim Deepavali, rumah dan pusat membeli-belah akan meriah dihiasi dengan lampu berwarna-wari, hiasan kolam, rangoli, dan pelbagai jenis manisan yang dikongsi bersama-sama.

Tradisi ini bukan semata-mata perayaan agama. Bahkan, sambutan yang menyatupadukan komuniti dengan prinsip keterangkuman (inclusion) dan layanan yang mesra sesama masyarakat. 

Musim perayaan ini adalah peluang untuk mengukuhkan lagi talian persaudaraan sesama sanak-saudara dan sahabat handai. Peluang ini digunakan oleh masyarakat tempatan termasuk pusat keagamaan seperti kuil, dan dewan komuniti untuk mengadakan rumah terbuka.

Di samping berbagai-bagai juadah yang disediakan, hidangan vegetarian disajikan pada perayaan Deepavali sebagai simbolik kesucian dan ketaatan. Seluruh masyarakat tanpa mengenal latar belakang dan agama, termasuk keluarga yang jauh, jiran tetangga, dan rakan taulan, dijemput untuk memeriahkan lagi Festival Cahaya ini.

Semestinya, menyentuh tentang hidangan makanan, perayaan Deepavali tidak lengkap tanpa sajian tradisi yang ikonik. Antara yang sinonim dengan perayaan Deepavali dan menjadi kemestian bagi setiap isi rumah termasuk murukku dan ladoo.

Ditambah pula dengan nasi biryani dan kari kambing, hidangan-hidangan ini adalah antara yang dinanti-nantikan! Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana hidangan yang enak ini sentiasa boleh didapati pada bila-bila masa sahaja walaupun di luar musim perayaan. Lazatnya!

Galakan Ketahanan Komuniti

Dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan, Deepavali menjadi kesempatan untuk kita berehat seketika dan menghidupkan semula hubungan dengan yang tersayang. Sanak-saudara saling memaafkan dan sengketa lama didamaikan sambil bertukar cerita dan menikmati pelbagai juadah yang enak, menunjukkan kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat.

Dalam kemeriahan sambutan ini juga, ahli keluarga yang sakit atau telah uzur tidak dilupakan. Sama-sama kita pastikan mereka tidak rasa terasing atau tersisih dalam kemeriahan sambutan ini.  

Fenomena membeli-belah ketika membuat persiapan untuk menyambut Festival Cahaya ini turut memainkan peranan dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi masyarakat tempatan. Beberapa minggu sebelum Deepavali menyaksikan peningkatan masyarakat yang membeli-belah sekaligus memberikan manfaat kepada bisnes-bisnes kecil, penjual jalanan dan artisan tempatan.

Bagi artisan dengan skil yang spesifik seperti menghasilkan pakaian dan barang kemas tradisional, kraf buatan tangan, dan juga penghasilan kolam, musim perayaan ini adalah waktu yang kritikal bagi mereka mendapatkan hasil jualan yang banyak. Secara tidak langsung kita menyumbang kepada pengukuhan ekonomi komuniti tempatan yang membawa kepada ketahanan komuniti. 

Sinaran Cahaya dalam Komuniti

Sambil kita meluangkan masa berharga dengan yang tersayang serta menikmati pelbagai juadah enak dalam pesta besar-besaran ini, jangan dilupakan bahawa sekecil-kecil perbuatan baik kita kepada orang lain akan menjadi satu jalinan cahaya yang membentuk perpaduan dalam komuniti.

Deepavali ialah peluang untuk menyatukan semula hubungan yang telah retak atau terputus sesama keluarga dan masyarakat, dan mengingatkan kita berkenaan kepentingan bersatu-padu untuk mengukuhkan ketahanan komuniti. 

Dalam musim perayaan ini, sentiasa jaga kesihatan anda dan kawal pemakanan bagi mengelakkan penyakit yang tidak diingini. Selamat menyambut Deepavali! 

Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *