Pejam celik, pejam celik, tahun 2026 semakin menghampiri kita. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini telah membentangkan Belanjawan 2026. Bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat,” perancangan kewangan kali ini digambarkan sebagai usaha “pemulihan nasional” dengan banyak sokongan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah.
Anda nak tahu? Dengan Belanjawan 2026, anda boleh mendapatkan pelepasan cukai apabila anda melawat pusat pelancongan tempatan! Mari Ouch! kongsikan beberapa sorotan dari Belanjawan 2026 yang akan memberi manfaat kepada anda, terutamanya dari segi pelepasan cukai, kos sara hidup, pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan.
Bantuan Kewangan dan Kebajikan Sosial

Di bawah Belanjawan 2026, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diteruskan untuk membantu komuniti berpendapatan rendah dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Inisiatif ini ialah bantuan tunai yang akan dikreditkan secara automatik ke MyKad penerima yang layak untuk membeli produk keperluan asas. Bantuan kewangan juga akan diberikan kepada komuniti tertentu untuk membantu meringankan beban peningkatan kos sara hidup.
- Bayaran SARA RM100 sekali sahaja akan diberikan lagi kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada pertengahan Februari tahun hadapan.
- Semua sembilan juta penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM100 sebulan, atau RM1,200 setahun.
- Satu juta penerima STR di bawah program e-Kasih juga akan menerima sehingga RM200 sebulan, atau RM2,400 setahun, di bawah SARA.
- Bersempena Deepavali, bayaran STR Fasa 4 sebanyak RM2 bilion (kadar bayaran sehingga RM700 mengikut kategori) untuk 2025, yang pada asalnya dijadualkan pada November, akan diawalkan dan mula disalurkan pada 18 Oktober.
- Penjawat awam gred 56 dan ke bawah akan menerima bantuan kewangan khas sebanyak RM500. Manakala pesara dan veteran (berpencen dan tidak berpencen) akan mendapat RM250. Bantuan akan diedarkan pada awal Mac 2026.
Pendidikan
Setiap tahun, kerajaan akan memperuntukkan sumber yang signifikan kepada sektor Pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah baik sistem pendidikan dan memastikan pendidikan lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
- Semua 5.2 juta pelajar di sekolah kerajaan akan menerima RM150 sebagai bantuan persekolahan awal. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM800 juta. Bermula pada 2026, bantuan ini akan disalurkan kepada ibu bapa melalui guru di sekolah.
- Semua 150 ribu murid OKU akan menerima elaun RM150 sebulan.
- RM120 juta akan diperuntukkan setiap tahun untuk skim pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sekaligus memberi manfaat kepada 5,800 kanak-kanak dari keluarga miskin di universiti awam.
- Bayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan kelas pertama dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana akan dikecualikan. Ini memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 peminjam dan menelan kos RM90 juta setiap tahun.
Perkhidmatan Kesihatan

Dengan RM46.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, meningkat dari RM45.3 bilion tahun ini, Malaysia menuju ke arah persekitaran yang lebih baik untuk pekerja perkhidmatan kesihatan. Tambahan lagi, duti eksais yang lebih tinggi akan dikenakan kepada produk rokok dan alkohol dalam usaha untuk mengurangkan penggunaannya.
- 4,500 doktor kontrak telah diluluskan dan akan ditawarkan jawatan tetap tahun hadapan.
- 833 jururawat kontrak telah ditawarkan lantikan tetap tahun ini. Pada tahun hadapa, tambahan 935 graduan Institut Latihan KKM akan ditawarkan jawatan tetap.
- Peningkatan duti eksais untuk produk rokok, termasuk kenaikan 2 sen setiap batang rokok, bermula 1 November 2025.
- Kenaikan duti eksais untuk alkohol sebanyak 10 peratus, bermula 1 November 2025.
- Tempoh pengecualian duti import dan cukai jalanan ke atas produk terapi gantian nikotin dilanjutkan dan diperluaskan kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges sehingga 31 Disember 2027.
- Inisiatif MySalam untuk individu B40 akan diteruskan pada 2026 untuk menyediakan perlindungan hospitalisasi dan penyakit kritikal yang disubsidi.
Pelepasan Cukai
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperluaskan pelepasan cukai untuk membantu pembayar cukai dalam menguruskan beban kewangan mereka dan menggalakkan perbelanjaaan lebih banyak dalam sektor seperti perkhidmatan kesihatan dan pelancongan. Selain itu, inisiatif ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada keluarga dengan anak kurang upaya.
Berikut adalah beberapa pelepasan cukai yang boleh anda manfaatkan untuk tahun 2026:
- Pelepasan cukai pendapatan individu khas sebanyak RM1,000 akan diberikan untuk perbelanjaan meliputi yuran masuk ke tarikan pelancongan tempatan dan program kebudayaan untuk menggalakkan perjalanan domestik.
- Pelepasan cukai pendapatan individu untuk perbelanjaan saringan, pengesanan, intervensi awal, dan pemulihan berterusan untuk anak kurang upaya (umur 18 tahun ke bawah) akan dinaikkan dari RM6,000 kepada RM10,000.
- Pelepasan cukai individu RM3,000 sedia ada untuk yuran penjagaan anak (taska/tadika sehingga umur 6 tahun) akan diperluaskan untuk meliputi pusat jagaan harian/transit berdaftar untuk kanak-kanak sehingga umur 12 tahun, berkuat kuasa untuk tahun taksiran 2026.
- Perbelanjaan vaksinasi yang layak untuk pelepasan cukai pendapatan individu akan diperluaskan untuk meliputi semua jenis vaksin yang didaftarkan dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
- Pelepasan cukai RM3,000 sedia ada untuk premium insurans hayat/takaful (diri dan pasangan) akan diperluaskan untuk meliputi anak-anak.
- Pengecualian duti setem penuh ke atas polisi insurans bernilai kecil atau sijil takaful yang dibeli oleh individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga 2028. Pelanjutan serupa diberikan kepada pengecualian duti setem penuh ke atas polisi insurans dan sijil takaful untuk produk Perlindungan Tenang.
Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan Belanjawan 2026.
Belanjawan 2026: Melangkaui Rancangan Kewangan
Belanjawan 2026, seperti yang dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan lebih daripada sekadar rancangan kewanganm bahkan akan menjadi penanda aras yang akan membimbing negara ke arah pemulihan dalam era akan datang.
Perancangan kewangan ini menetapkan fokus untuk menangani kemiskinan tegar dan meingkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk peruntukan SARA dan STR dan subsidi bersasar. Sebagai rakyat Malaysia yang akan menerima manfaat ini, ayuh bersama-sama berusaha meningkatkan taraf dan kualiti hidup kita dengan mengambil kesempatan untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan 2026.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.