Monsun Timur Laut: Siap-Siaga Banjir

Semakin menghampiri hujung tahun, tibalah musim yang mengundang resah kebanyakan rakyat Malaysia. Dengan monsun timur laut yang semakin hampir, rakyat Malaysia bersiap-siaga menghadapi musim hujan lebat dan risiko banjir. Malaysia, sebagai salah satu negara di Asia Tenggara, menerima banyak hujan setiap tahun. Selain monsun timur laut, Malaysia juga mengalami monsun barat daya serta dua musim peralihan monsun.

Mari kita bersiap sedia untuk situasi terburuk. Seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan!

Fenomena Monsun Timur Laut di Malaysia

Monsun timur laut yang tiba dijangka tiba membawa hujan lebat dan ribut petir ke Malaysia, terutamanya di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia, serta di Sabah dan Sarawak.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan bahawa monsun yang datang akan dipengaruhi oleh fenomena La Niña yang lemah dan dijangka berlarutan dari awal November hingga akhir Mac 2026.

Kredit poster: METMalaysia

Malaysia telah mengalami banyak bencana banjir yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kemudahan, infrastruktur, dan harta benda. Pelbagai faktor telah menyumbang kepada kejadian banjir di Malaysia, termasuk:

  • Kehilangan simpanan banjir akibat pembangunan;
  • Sistem saliran yang tidak mencukupi;
  • Hujan lebat berterusan di satu-satu tempat;
  • Pemendapan saluran air daripada operasi pembersihan yang tidak terkawal; dan,
  • Kapasiti sungai yang tidak mencukupi.

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Persiapan secukupnya perlu dibuat untuk menghadapi musim monsun dan cuaca buruk yang membawa risiko banjir kilat, terutamanya sekiranya hujan turun secara berterusan. Menurut ramalan MetMalaysia, Malaysia kini berada di fasa akhir musim peralihan monsun, dan monsun timur laut dijangka berlaku pada pertengahan November.

Sabah dijangka mengalami hujan melebihi purata dari November hingga Februari 2026. Selain itu, hujan maksima dijangka pada Disember di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. Hujan lebat berterusan boleh menyebabkan risiko banjir di kawasan rendah dan kawasan berisiko banjir.

Banjir di kawasan Kampung Sungai Baru Gunung, Alor Setar Kedah pada hujung tahun lalu. 
Kredit Foto: Bernama

Berikut adalah beberapa tip yang perlu dan tidak perlu dilakukan yang boleh anda ikuti untuk memastikan anda bersedia menghadapi sebarang kecemasan banjir.

Tip keselamatan banjir

1) Sentiasa peka dan maklum situasi terkini

Banjir, terutamanya banjir kilat, boleh berlaku dengan sangat cepat dan mengejutkan kebanyakan orang. Sentiasa peka dengan sebarang amaran cuaca, pengumuman atau insiden melalui platform dalam talian, media sosial atau radio. Kekal maklum dengan berita terkini memberi anda masa berharga untuk membuat persiapan dan bertindak terhadap situasi kecemasan.

2) Sediakan kit kecemasan

Sediakan kit kecemasan di rumah anda untuk memudahkan urusan pemindahan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Antara barang-barang yang boleh diletakkan dalam kit tersebut termasuklah:

  • Bekalan air botol sekurang-kurangnya 2 hingga 3 hari
  • Makanan tin sedia untuk dimakan
  • Senarai nombor kecemasan, sekiranya telefon anda kehabisan bateri
  • Power bank dan pengecas
  • Ubat-ubatan penting dan kit pertolongan cemas
  • Lampu suluh berkuasa bateri (dan bateri tambahan)
  • Dokumen penting seperti sijil kelahiran, polisi insurans dan pasport disimpan dalam beg kalis air
  • Kunci tambahan untuk rumah dan kereta anda

3) Buat rancangan untuk pemindahan dan komunikasi dengan keluarga anda

Sediakan rancangan pemindahan dengan keluarga anda, terutamanya jika kawasan anda berisiko dilanda banjir teruk. Cari pusat pemindahan terdekat, dan buat rancangan untuk ke sana dan langkah yang perlu dilakukan sekiranya anda atau ahli keluarga terpisah.

4) Sediakan rumah anda untuk menghadapi banjir

Lakukan persiapan seperti membeli beg pasir untuk menyekat atau mengalihkan laluan air daripada memasuki rumah anda. Langkah berjaga-jaga ini boleh mengurangkan kerosakan pada isi rumah akibat air banjir. Selain itu, anda boleh juga lindungi aset anda dengan insurans banjir. Pastikan suis bekalan elektrik utama dimatikan sebelum anda meninggalkan rumah untuk mengelakkan risiko renjatan elektrik.

5) Patuhi arahan pihak berkuasa

Sekiranya anda diarahkan untuk mengosongkan kawasan perumahan anda, sila patuhi arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Langkah berjaga-jaga banjir: Elakkan perkara berikut

1) Jangan bermain dengan air banjir

Elakkan daripada bermain air banjir, terutamanya bagi kanak-kanak yang lebih berisiko dijangkiti kuman. Walaupun nampak menyeronokkan, air banjir sangat berbahaya disebabkan risiko dijangkiti penyakit bawaan air.

Walaupun air banjir mungkin kelihatan jernih dan bersih di kawasan tertentu, dikhuatiri mengandungi pelbagai jenis kuman dan mikroorganisma kurang baik yang boleh menyebabkan penyakit seperti muntah-muntah, demam panas, cirit-birit dan sebagainya.

2) Jangan hidupkan peralatan elektrik

Semasa banjir melanda atau selepas anda dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara, elakkan daripada terus menghidupkan peralatan elektrik. Terutamanya jika masih basah, untuk mengelakkan risiko renjatan elektrik.

3) Jangan makan dan minum makanan dan minuman yang terjejas oleh air banjir

Air banjir berisiko membawa pelbagai jenis kuman dan bakteri tidak baik yang boleh mengundang pelbagai penyakit.

4) Elakkan pergi ke kawasan yang berisiko banjir buat sementara waktu

Rancang perjalanan anda dan elakkan melawat kawasan-kawasan yang berisiko dilanda banjir. Ambil tahu dan peka dengan berita berkaitan lokasi-lokasi yang ingin dilawati.

5) Jangan tinggalkan pusat pemindahan sehingga anda menerima pengesahan daripada pihak berkuasa

6) Apabila pulang ke rumah selepas banjir melanda, pastikan keselamatan semasa proses pembersihan

Ambil langkah berjaga-jaga semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah atau kawasan yang dilanda banjir: 

  1. Pakai but, sarung tangan dan seluar panjang
  2. Buka tingkap dan pintu untuk menggalakkan pengudaraan
  3. Basuh dan nyahjangkit peralatan memasak dan makan

Ouch! mengajak rakyat Malaysia, terutamanya yang berada di lokasi berisiko banjir, untuk berhati-hati dan lakukan persiapan sebaiknya untuk menghadapi cuaca buruk dan banjir kilat. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, pastikan juga anda menjaga kesihatan diri.

Anda boleh ikuti tips yang Ouch! kongsikan dan sebarkan kepada rakan-rakan dan keluarga untuk bersama-sama mengambil langkah berjaga-jaga dan melindungi keselamatan diri, keluarga dan harta benda.

Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *