Malaysia sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun. Perkara ini sedang diteliti oleh sebuah jawatankuasa khas diketuai oleh Dr Mohd Shaharin Umar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Kementerian Sumber Manusia, kerana melibatkan undang-undang buruh. Cadangan ini menerima pelbagai respons dari segi sokongan dan kritikan daripada masyarakat.

Mari kita selami topik ini dan ketahui lebih lanjut kesan-kesan peningkatan umur persaraan wajib kepada anda dan masyarakat umum.
Mengapa isu ini dibangkitkan?
Umur persaraan di Malaysia telah disemak beberapa kali dalam dua dekad yang lalu melalui pindaan Akta Pencen 1980. Ia dinaikkan daripada 55 kepada 56 tahun pada tahun 2001, sebelum dinaikkan lagi kepada 58 pada tahun 2008. Kemudian, pada tahun 2012, umur persaraan dilanjutkan lagi kepada 60.
Pelbagai faktor mungkin menjadi punca isu ini dibangkitkan semula baru-baru ini, termasuk:
1. Malaysia menuju negara tua
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (Department of Statistics Malsyia, DOSM), Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2048, dengan 14% daripada populasi berumur 65 tahun ke atas. Populasi negara dijangka mencapai kemuncak populasi seramai 46 juta menjelang 2071, sebelum mengecil pada tahun berikutnya. Hal ini turut dipengaruhi oleh trend kadar kelahiran yang rendah, yang akan disentuh pada faktor seterusnya.
2. Kadar kelahiran anak yang lebih rendah
Sejak tahun 1957, bilangan anak bagi setiap wanita telah menurun dengan mendadak daripada 6.7 anak kepada 2.1 pada tahun 2010. Menurut DOSM, pada tahun 2024, Malaysia merekodkan bilangan kelahiran terendah sejak tahun 1980, dengan sejumlah 414,918 kelahiran, penurunan 9% daripada 455,761 kelahiran pada tahun 2023. Selain itu, Malaysia merekodkan penurunan daripada 1.7 anak pada tahun 2023 kepada 1.6 anak bagi setiap wanita pada tahun 2024. Penurunan kadar kelahiran anak membawa kepada populasi yang mengecil, sekaligus membawa kepada penurunan tenaga kerja negara.
3. Rakyat Malaysia hidup lebih lama
Di hujung satu lagi spektrum, jangka hayat rakyat Malaysia direkodkan semakin meningkat daripada 72.2 tahun pada tahun 2000 kepada 75.2 tahun pada tahun 2024. Kini, jangka hayat rakyat Malaysia dianggarkan boleh meningkat kepada 79 menjelang tahun 2040 dan 81 pada tahun 2050.
Legasi Keemasan vs Nafas Generasi Baru
Dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, mari kita terokai impak penaikan umur persaraan wajib kepada komuniti.
Jaminan kewangan untuk warga emas Malaysia
Data terkini daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan ramai warga Malaysia tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Seramai 6.3 juta pencarum di bawah 55 tahun mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka. Selain itu, sebahagian besar rakyat Malaysia berumur lebih 60 tahun masih bekerja, walaupun secara tidak formal, dan 4 daripada 10 bergantung kepada pendapatan tambahan daripada anak-anak mereka.
Data ini menunjukkan keadaan kewangan kebanyakan warga emas di Malaysia yang rapuh. Peningkatan umur persaraan akan memberikan mereka tambahan masa untuk menyimpan wang persaraan, selain menjamin pendapatan bulanan yang konsisten.
Jimat perbelanjaan penjagaan kesihatan dan insurans
Seiring peningkatan umur, perbelanjaan penjagaan kesihatan anda selalunya akan meningkat, jauh lebih daripada yang anda inginkan, berbanding ketika masih muda. Selain simpanan persaraan yang rendah, perbelanjaan penjagaan kesihatan juga memberikan kesan kepada keadaan kewangan generasi yang berusia lanjut, terutamanya jika tidak lagi bekerja. Sebaliknya, jika mereka masih bekerja, majikan selalunya menyediakan insurans penjagaan kesihatan untuk para pekerja.
Menghalang perkembangan kerjaya generasi muda
Peningkatan umur persaraan berisiko menghasilkan kesesakan peluang kerjaya untuk pekerja belia dan menjejaskan perkembangan kerjaya mereka, terutamanya bagi yang baru menamatkan pengajian dan ingin memulakan kerjaya. Pada pertengahan 2025, kadar pengangguran belia adalah sekitar 10.2%, jauh lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional keseluruhan sekitar 3.0%. Apabila lebih ramai pekerja berusia lanjut masih belum bersara daripada jawatan mereka, peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat untuk generasi muda akan menjadi lebih terhad.
Tambahan lagi, dengan kekurangan peluang pekerjaan di pasaran, persaingan akan menjadi lebih sengit, dan berpotensi menjadikan generasi muda lebih terdedah kepada gaji rendah dan faedah yang sedikit. Hal ini boleh memberi impak kepada keadaan kewangan mereka dalam jangka masa panjang akibat bergelut untuk dengan perkembangan kerjaya mereka.
Kos operasi lebih tinggi untuk majikan
Pelanjutan umur persaraan berpotensi menyebabkan kos operasi yang lebih tinggi untuk majikan. Pekerja berusia lanjut lebih cenderung untuk sakit, membawa kepada kos yang lebih mahal (e.g., penjagaan kesihatan, prestasi kerja meurudum, dll.). Selain itu, menganjurkan sesi latihan untuk mereka, terutamanya untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, juga akan menanggung kos tambahan, berbanding mengambil pekerja muda yang kebanyakannya mempunyai kemahiran teknologi asas.
Mencari titik keseimbangan
Peningkatan umur persaraan bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Perubahan ini akan mempengaruhi kestabilan kewangan generasi tua dan muda.
Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Norma Mansor, menasihatkan agar tidak menaikkan umur persaraan secara mendadak. Sebaliknya, beliau mencadangkan ia dilakukan secara beransur-ansur untuk memberi peluang kepada industri untuk mengadaptasi kepada sebarang perubahan. Kerajaan juga boleh mewujudkan inisiatif pengambilan semula pekerja berumur melebihi 60 tahun secara sukarela, untuk memberi peluang kepada mereka untuk memilih.
Bagi yang sudah berada dalam tenaga kerja, kita boleh fokus kepada perkara yang berada dalam kawalan kita. Salah satunya ialah merancang simpanan kewangan selepas persaraan, terutamanya semasa masih muda dan sihat. Dengan populasi yang semakin berkurangan dan kadar kelahiran yang lebih rendah, anda mungkin tidak berpeluang untuk bergantung kepada anak-anak anda selepas persaraan.
Bagi yang masih belajar, berikan usaha terbaik anda dalam mengasah pelbagai kemahiran sambil mengekalkan kecemerlangan akademik dalam usaha untuk mendapatkan pekerjaan yang baik pada masa hadapan.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.