Raikan semangat pembaharuan, kebersamaan dan kemakmuran di musim perayaan Tahun Baru Cina
Di kala kita baru sahaja menyambut tahun 2025, tiba pula masanya untuk meraikan salah satu perayaan terbesar di Malaysia – Tahun Baru Cina. Suasana di seluruh Malaysia sudah mula meriah dengan persiapan untuk perayaan ini – hiasan bertemakan Tahun Baru Cina sudah pun terlihat merata-rata dan lagu-lagu perayaan telahpun berkumandang di pusat membeli-belah. Perayaan ini menandakan permulaan tahun baru kalendar lunar dan diraikan dengan adat yang melambangkan semangat pembaharuan, kemakmuran dan juga perpaduan. Sempena meraikan ketibaan tahun zodiak ular ini, ayuh ikuti Ouch! untuk belajar adat sambutan perayaan ini serta mengambil iktibar untuk memulakan tahun baru dengan lembaran baharu – bukan sahaja dari segi kehidupan harian tetapi juga tabiat pengurusan kewangan.
Membuka ruang untuk pembaharuan
Antara ritual penting sebelum ketibaan Tahun Baru China ialah pembersihan rumah secara menyeluruh, ataupun spring cleaning. Adat ini selari dengan budaya masyarakat lain sempena apa-apa juga jenis sambutan perayaan. Dalam tradisi masyarakat Cina, aktiviti ini melambangkan “pembersihan” daripada nasib malang dan juga memberi ruang baharu untuk tuah dalam tahun yang akan tiba. Ini ialah peluang untuk “mengemas” kehidupan anda dan memulakan tahun baru dengan nafas baru dan teratur.
Lembaran baru untuk tahun baru
Tradisi melangsaikan hutang juga adalah adat penting dalam sambutan Tahun Baru Cina. Hutang-hutang perlu dilangsaikan sebelum tahun baru tiba untuk benar-benar memulakan lembaran baru. Adat ini bukan sekadar tradisi, bahkan membawa nilai praktikal dalam kehidupan dengan memupuk tabiat gaya hidup bebas hutang. Budaya ini memudahkan kita untuk mengamalkan tabiat kewangan yang berdisiplin, sekali gus membina kesejahteraan kehidupan daripada segi pengurusan kewangan pada setiap tahun yang akan datang.

Waktu berharga bersama-sama keluarga
Pada malam sebelum ketibaan Tahun Baru Cina, ahli keluarga dan sanak-saudara akan berkumpul untuk makan besar beramai-ramai. Pertemuan keluarga ini meraikan ikatan silaturahim sambil menyatakan rasa syukur dan mendoakan kemakmuran tahun yang akan datang. Majlis keramaian ini mencerminkan semangat pembaharuan sambil mengukuhkan hubungan kekeluargaan untuk tahun yang bakal menjelang tiba.
Tuah yee sang
Setiap kali perayaan ini tiba, yee sang adalah hidangan wajib pada setiap majlis keraian. Adat menggaulkan yee sang adalah aspek penting dalam sambutan perayaan tahun baru masyarakat Tionghua. Hidangan yang berwarna-warni ini melambangkan nilai simbolik seperti kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan kemakmuran. Ketika sambutan perayaan, yee sang akan digaul beramai-ramai, kerana dipercayai bahawa semakin tinggi yee sang diangkat, maka lebih banyak kemakmuran bakal dinikmati pada tahun akan datang. Tradisi ringkas ini cukup bermakna kerana hidangan pelbagai warna ini juga mencerminkan semangat kebersamaan yang kita nikmati di negara bersama-sama rakan dan keluarga kita.

Berkongsi rezeki dengan orang tersayang
Angpau merah adalah sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina. Sama seperti duit raya, tradisi ini adalah cara untuk berkongsi rezeki dengan orang-orang yang terdekat dengan diri kita, secara tidak langsung memupuk budaya sentiasa berbuat baik kepada orang yang berada di sekeliling kita. Dalam budaya masyarakat Tionghua, pemberian angpau adalah tidak terhad kepada kanak-kanak dan warga emas, tetapi juga diberi kepada mereka yang masih belum berkahwin. Sama ada untuk diri sendiri ataupun anak, penting untuk pastikan duit angpau disimpan dengan baik. Simpankan dalam dana pelaburan ataupun tabung pendidikan anak anda bagi memastikan wang terus berkembang dan tidak dibazirkan.
Setiap perayaan Tahun Baru Cina pasti sangat sinonim dengan perkataan “kemakmuran”. Namun, Tahun Baru Cina lebih dari sekadar menyambut dan mendoakan kemakmuran. Semangat muhibah dan kesyukuran juga turut diraikan. Penting untuk kita terus belajar tentang adat dan budaya masing-masing kerana hanya dengan cara ini kita dapat memahami dan menyemai nilai-nilai yang kita kongsi seperti kepentingan silaturahim, semangat kebersamaan dan juga sifat prihatin terhadap pengurusan kewangan. Sempena meraikan kepelbagaian negara kita, Ouch! mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada mereka yang meraikan. Gong Xi Fa Cai! Nian Nian You Yu!
Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusara Pro atau muat turun aplikasi Takaful & Insurans Ouch! di Google Play Store atau Apple Play Store sekarang.
Penafian: Maklumat dalam artikel blog kami dan yang disampaikan oleh duta jenama/KOL hanya untuk pandangan umum dan tidak mengikat secara undang-undang. Kami berusaha untuk ketepatan tetapi tidak menjamin kelengkapan atau kebolehpercayaan maklumat. Untuk hal-hal undang-undang, rujuk dokumen rasmi atau hubungi wakil berkuasa Ouch!.